Friday 19 August 2011

8 DISIPLIN untuk minat belajar....

SETIAP orang ada minatnya masing-masing tetapi semua orang perlu ada minat untuk belajar kerana ia adalah keperluan dalam kehidupan seorang pelajar. Kebiasaannya seseorang yang berminat untuk belajar akan berakhir dengan kejayaan kerana apa yang dilakukannya adalah hasil dari kehendaknya sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa.
Oleh itu adalah penting bagi pelajar-pelajar memupuk minat untuk belajar sejak awal lagi. Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk memupuk minat belajar ialah:
1. Kepelbagaian bahan belajar
Kepelbagaian bermaksud bahan yang dibaca itu terdapat dalam pelbagai bentuk seperti buku, majalah, Internet, CD-ROM dan sebagainya. Ini akan mengelakkan rasa bosan ketika mempelajarinya.
2. Rujuk bahan grafik
Bahan grafik seperti gambar, rajah ataupun bahan animasi mampu mempermudahkan pemahaman. Justeru, mampu menambahkan minat belajar.
3. Perbincangan dengan rakan
Apabila anda berbincang dengan rakan anda akan dapat mengurangkan tekanan. Ini disebabkan perbincangan dua hala lebih berkesan daripada membaca hanya satu hala tanpa ada interaksi bersama.
4. Belajar secara lebih teratur
Anda perlu membuat perancangan terlebih dahulu sebelum memulakan sesi belajar kerana tanpa ada satu perancangan, anda akan mengalami ketidaktentuan sewaktu belajar.  Jadual belajar, topik yang hendak dipelajari serta latihan yang hendak dibuat adalah di antara perancangan yang perlu ditentukan dan diatur.
5. Jangan suka bertangguh
Jika anda bertangguh melakukan sesuatu tugasan, kerja anda akan menjadi banyak dan akhirnya akan terbengkalai. Jika ia tidak dibendung akan mengakibatkan anda berasa malas dan tidak berminat untuk belajar.
6. Selesaikan segera masalah yang dihadapi
Setiap masalah atau kekeliruan yang dihadapi harus diselesaikan dengan segera. Jika tidak masalah itu akan terkumpul menjadi banyak dan berakhir dengan kegagalan di dalam peperiksaan.
7. Jangan malu bertanya dengan guru
Guru adalah tempat anda untuk bertanya. Jangan rasa malu atau takut bertanya dengan guru. Gunalah kesempatan berjumpa dengan guru itu untuk menyelesaikan segala keraguan atau cuba dapatkan kepastian tentang sesuatu topik yang dipelajari.
8. Hadiri sebarang aktiviti kurikulum dan kokurikulum
Dengan menghadiri dan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah, anda berpeluang berinteraksi dengan rakan dan ini dapat memantapkan lagi keperibadian anda.
Aktiviti kokurikulum boleh mencungkil potensi anda dalam pelbagai lapangan. Keterlibatan anda akan menambahkan keceriaan diri, menambahkan kreativiti dan menyemarakkan semangat untuk belajar.
Sebenarnya belajar itu adalah sesuatu yang menyeronokkan. Oleh itu jadikan sesi belajar itu sebagai satu sesi yang boleh menggembirakan anda bukan menakutkan anda. Dekatilah diri dengan ilmu kerana ilmu itu pelita hidup serta bekalan untuk masa akhirat.


No comments:

Post a Comment