Wednesday 25 May 2011

Mencintai tak semestinya memiliki....


Sejak kebelakangan ini aku tengok dalam ‘facebook’ ramai orang meletakkan status berkaitan cinta. Ada yang ‘post’ video jiwang. Ada yang menghebohkan status hubungan. Ada yang meluahkan perasaan cinta dan rindu kepada buah hati melalui ‘facebook’.  Tak terlepas juga ada yang mengepost artikel dan video mengenai kisah lelaki atau menunjukkan lelaki ni jahat dan tak setia. Mungkin sebab putus cinta kot membuatkan mereka ‘post berkaitan tu. Di sini aku bukan nak mengata atau mengutuk. Biasa dan normal seseorang itu ada perasaan cinta kepada seseorang bukan sejenisnya. Tidak normal kalau mempunyai perasaan cinta kepada sejenisnya. Cinta itu anugerah Allah. Mengapa kita nak mempertikaikan? Saya tidak mempertikaikan itu. Saya pun manusia biasa yang mempunyai perasaan cinta itu. Saya mengakuinya.

Ingatlah bahawa jodoh itu milik Allah. Kita hanya mampu merancang. Adakah kita perlu menghebohkan kepada orang ramai yang kita ni bercinta dengan si dia? Tujuan apakah itu semua? Untuk orang ramai berdoa akan hubungan cinta kita itu? Rasanya tidak perlu. Mengapa saya berkata tidak perlu? Alasannya mudah. Jodoh itu milik Allah. Dalam Islam bercouple itu tidak muncul istilahnya. Yang ada bertunang dan berkahwin dan perlu dihebohkan. Mengapa cinta tak perlu dihebohkan? Bukan ke berkahwin itu tak semestinya kekal? Allah juga yang menetapkan jodoh seseorang. Jawapannya mudah. Berkahwin itu halal dan bercinta tanpa ada ikatan sah itu tidak halal. Tidak perlu kita hebohkan pasal hubungan cinta yang belum pasti. Hebohlah kepada umum mengenai tarikh perkahwinan anda dan jemputlah kawan-kawan anda kerana itu adalah tuntutan.

Begini paling mudah. Perasaan cinta itu anugerah Allah. Jika anda jatuh cinta kepada seseorang dan sedang bercinta dengan seseorang, biarlah anda dan pasangan anda je yang tahu. Tidak perlu menghebohkannya. Nanti apabila sudah pasti dia milik anda, hebohlah kepada sesiapa pun yang si dia tu milik anda. Kalau tak heboh kat facebook dia tu kekasih kita nanti orang lain kebas pula macma mana? Tak ke melepas? Senang jawapannya. Itulah menunjukkan si dia tu bukan jodoh anda. Kalau dia jodoh anda, walau bagaimana keadaan sekalipun cubaan yang datang pasti anda juga memilikinya. Jika anda berpisah kerana dia berjumpa dengan orang lain atau tanpa disangka-sangka sebabnya, sedarlah bahawa itu kekuasaan Allah. Allah mengetahui mana yang terbaik buat hambanya. Hikmah tersembunyi pasti ada. Yakinlah dengan Allah. Anda bercintalah seperti biasa-biasa sahaja. Dah kahwin nanti berkasih sayanglah anda seromantiknya. Anda pasti bahagia.

Dulu saya pernah bercinta dan boleh dikatakan heboh semua orang tahu. Saya yakin masa tu dialah milik saya. Saya yakin bahawa dia jodoh saya. Saya yakin begitu sebab kami saling mencintai dan dia tidak rela berpisah dengan saya. Tanpa disangka. Tanpa diduga hubungan kami berakhir jua. Itulah saya cakap tadi bahawa yakinlah dengan Allah. Allah pasti menghantar sesuatu yang akan membahagiakan kita. InsyaAllah. Mencintai tak semestinya memiliki. Anda boleh mengatakan yang anda hanya mencintai dia seorang sahaja tetapi adakah anda yakin dia milik anda? Ingatlah tiada apa pun yang boleh menandingi kekuasaan Allah. Allah jua yang maha mengetahui. Yakinlah dengan Allah. Jangan kita mengharap kepada manusia tetapi berharaplah kepada Allah. Berharap kepada manusia belum tentu kita dapat tetapi berharap kepada Allah tiada apa pun yang mustahil untuk kita dapat. Yakinlah.

Saya pernah mengajar untuk menjalani salah satu syarat sebagai pelajar pendidikan di sebuah sekolah. Tanpa saya sedari bahawa pemikiran pelajar sekarang ni hebat-hebat. Saya tidak menyangka akan ditanya soalan demikian. Seorang pelajar perempuan berkata kepadaku. ‘’Kalau cikgu seorang yang banyak pengetahuan cuba cikgu jawab satu soalan saya”. Terkejut saya apabila dicabar begitu. Berdebar juga masa tu. Maklumlah sebab kita ni tak boleh jangka apa yang pelajar berfikir. Saya menyaka dia nak mengenakan saya tetapi rupanya tidak. Saya bertanya kepada pelajar tersebut. “ Apa yang awak nak tanya?’’ Saya akan jawab kalau saya boleh jawab. Pelajar tersebut berkata lagi, “ bukan apa cikgu, dah banyak kali saya tanya cikgu lain-lain tetapi jawapannya lebih kurang je. Macam ni cikgu. Allah telah tetapkan kita jodoh dengan seseorang  tetapi tak boleh ke kita mencarinya?. Atau kita perlu menunggunya? Ini soalan yang saya dapat daripada pelajar tersebut. Sebelum saya menjawab soalan itu saya bertanya dulu apa jawapan yang selalu diberi oleh cikgu lain kepada pelajar tersebut. Pelajar itu menjawab macam ni..” cikgu kat jodoh tu dah ditetapkan dan suatu hari nanti akan bertemulah, tak perlu bimbang dan tak perlu bersusah payah”. Cepatlah cikgu..saya nak tahu jawapan cikgu muda pulak. Pelajar tersebut memaksa saya menjawab. Saya dengan spontan menjawab..”beginilah kalau awak nak tahu..rezeki siapa yang bagi? Pelajar itu menjawab “Allah”. Perlu tak kita berusah mencari rezeki? Pelajar itu menjawab “perlulah. Kalau tak macam mana nak dapat rezeki tu. Saya berkata lagi..’bukan ke rezeki tu Allah yang bagi? Mengapa perlu bersusah payah mencari. Mengapa perlu bimbang? Pelajar itu bingung seketika. Pelajar itu menjawab..cikgu, saya tanya cikgu soalan lain kan?bukan pasal rezeki...cepatlah cikgu. Saya berkata kepada pelajar itu yang konsepnya sama saje dengan jodoh tadi. Kalau jodoh Allah tetapkan dan rezeki Allah tetapkan, tetapi kita perlu berusaha mencarinya. Itu semua tidak akan datang bergolek. Begitu dengan rezeki. Sudah kita tahu bahawa Allah memberi rezeki tetapi kita perlu berusaha mencarinya dan yang menetapkan rezeki kita sebanyak mana itu ialah Allah. Sama juga dengan jodoh. Jika jodoh ditetapkan Allah tetapi kita perlu mencarinya. Yang menetapkan dia tu jodoh kita atau tidak ialah Allah. Yakinlah dengan Allah. Janganlah berputus asa. Pelajar tersebut tersenyum lebar dan tak henti-henti ucap terima kasih kepada saya. “cikgu, tak ada lagi yang bagi jawapan sebernas ini, cikgulah yang pertama”. Pelajar tersebut mengeluarkan kata-kata. Sejak daripada peristiwa tu pelajar tersebut ‘respect’ saya.

Maksud yang ingin saya ketengahkan ialah bercinta itu boleh tetapi biarlah kena pada niatnya. Alangkah bagus kalau niat kita untuk menikahinya dan mendapat keredhaan Allah. Mencintai tidak semestinya memiliki. Berusaha mencari tak salah. Yang penting kita tahu niat dan tujuan kita. Biarlah bersederhana dalam bercinta. Jangan kita khayal dengan cinta yang tak pasti. Cinta yang pasti dan kekal abadi ialah cinta Ilahi. Bergembira tak salah tetapi terlalu gembira pada sesuatu yang tak pasti itu sia-sia dan padah menanti sebabnya yang bakal muncul itu adalah duka yang mengahncurkan. Mencintai tidak semestinya memiliki. Mencitai manusia tidak menjanjikan kebahagiaan yang kekal tetapi mencintai Illahi nescaya kekal bahagia. Mencintai tidak semestinya memilik. Mencintai manusia biarlah berpada-pada kerana manusia hanya boleh memberi janji tetapi terbatas untuk menunaikannya. Mencintai Allah sepenuh hati sudah pasti membawa erti dan semua janji-Nya pasti akan ditepati dan tidak mustahil. Yakinlah dengan Allah.

by : Cikgu Mazli 

No comments:

Post a Comment